Thursday, 3 February 2022

PERKIRAAN SEBAGAI MUSAFIR

 5.0 PERKIRAAN SEBAGAI MUSAFIR

Perkiraan Hari Masuk Dan Hari Keluar Dalam Hukum Solat Musafir (Jamak Dan Qasar)

Diantara salah satu daripada syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir ada disebut dalam kitab al-fiqh al-Manhajj.

“Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.”

Ini berdasarkan hadis al-`Ala’ bin al-Hadhrami bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُقِيمُ الْمُهَاجِرُ بِمَكَّةَ بَعْدَ قَضَاءِ نُسُكِهِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Orang Muhajirin bermukin di Mekkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.”

Sesetengah orang mungkin keliru, tentang apa yang dimaksudkan dengan hari masuk dan hari pulang, iaitu sama ada hari masuk serta pulang itu tercakup dalam 24 jam hari pertama dan terakhir atau pun bukan.

Iman al-Nawawi menukilkan perkataan :

وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksudnya“Tidak dikira daripada empat hari itu dua siang masuknya dan keluarnya mengikut pendapat yang sahih.”

Berasaskan keterangan sebagaimana yang di atas,  terdapat perbezaan antara penggunaan hari selama 24 jam dan yang “hari“ dalam konteks hukum jamak dan qasar. Seterusnya ‘hari’ dalam hukum itu memberi maksud waktu siang dan waktu malam apabila seorang musafir itu sampai atau ingin pulang. Contohnya, jika seseorang itu sampai siang hari Isnin, maka dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar daripada tempat itu untuk musafir jauh ke tempat lain pula, pada siang hari Jumaat.Seandainya, dia pulang malam sabtu, maka tidak sah hukum solat jama` dan qasar yang dibuat kerana tidak cukup syarat.

Di samping itu,  perlu difahami juga bahawa pertukaran hari dalam fiqh Islam adalah selepas waktu Maghrib (senja) dan bukan 12.00 tengah malam. Antara hikmah diberikan keringanan pada siang hari sampai dan siang hari pulang ialah kerana seorang musafir itu pastinya disibukkan dengan perkara-perkara yang keperluan ketika musafir (seperti pengangkutan, penginapan dan persediaan pulang) pada dua siang hari tersebut.



No comments:

Post a Comment

  #AkuIslam #PanduanSolatJama'Qasar  Panduan Solat Jama' & Qasar : https://youtu.be/OyTt5kGTcAM