Thursday, 3 February 2022


 

#AkuIslam #PanduanSolatJama'Qasar

 Panduan Solat Jama' & Qasar : https://youtu.be/OyTt5kGTcAM


 

 

PENGANTAR ILMU FEQAH

AGM 2063

 

DIPLOMA TAHFIZ AL-QURAN DAN QIRAAT

 

TAJUK:

SOLAT JAMA’ DAN QASAR

 

NAMA PENSYARAH:

USTAZ ABU HASSAN BASORI BIN ABDULLAH

 

NAMA AHLI KUMPULAN

NO. MATRIK

NUR ATHIRAH BINTI MALEK

20DTQQ0155

PUTERI NURUL HAFIZAH BINTI JAILANI

20DTQQ0160

AFIQAH BINTI ZULKIFLI

20DTQQ0165

ATIQAH MARDIAH BINTI HASBULLAH

20DTQQ0149

SITI AISYAH HUMAIRAH BINTI JOHARI

20DTQQ0162

PENGENALAN

 

PENGENALAN

Allah SWT telah menjadikan agama Islam sebagai agama yang menyeluruh dengan merangkumi segala aspek dalam kehidupan, termasuklah dengan memberi kemudahan kepada hamba-hambanya dalam menunaikan sesuatu ibadah walau apa jua keadaan dan situasi. Dengan itu, kajian ini bertujuan untuk menjelaskan tentang pemberian rukhsah ( kemudahan ) oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang sedang dalam musafir untuk mengqasar dan menjamakkan solat untuk kemudahan manusia supaya solat menjadi suatu yang tidak membebankan memandangkan solat merupakan sesuatu perkara penting yang pertama akan dihisab di akhirat kelak.

            Selain itu, solat jamak ini juga merupakan kelonggaran bagi orang yang bermusafir dengan menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat di dalam satu waktu dan solat jamak itu hanya dikhususkan untuk orang yang bermusafir sahaja. Tambahan pula, seorang musafir itu hendaklah memenuhi syarat-syarat yang mengharuskan ke atasnya untuk solat jamak juga perlu untuk solat qasar. Jelaslah bahawa agama Islam tidak menyusahkan penganutnya, tiada alasan yang perlu dikatakan untuk tidak melaksanakan perintah Allah SWT dengan segala kemudahan yang telah diberikan untuk hamba-hambaNya.

            Antara perihal-perihal yang akan dinyatakan di dalam kajian ini termasuklah pengertian solat jamak, jamak taqdim dan juga jamak takhir. Seterusnya, dalil-dalil pensyariatan solat jamak bagi mengukuhkan lagi hujah-hujah yang terdapat dalam kajian ini. Selain itu, syarat-syarat solat jamak taqdim, jamak takhir dan syarat perjalan yang membolehkan solat jamak dan qasar agar lebih jelas dalam melaksanakan solat jamak. Tambahan pula, pengertian, dalil pensyariatan serta syarat-syarat bagi mengqasarkan solat juga dijelaskan dengan lebih terperinci. Seterusnya, niat dan panduan bagi jamak dan qasar. Sementara itu, tentang bagaimana perkiraan sebagai musafir, solat jamak yang dibenarkan selain musafir dan masalah-masalah yang berkaitan solat jamak dan qasar.

PENGERTIAN SOLAT JAMAK & DALIL PENSYARIATAN

 1.0 PENGERTIAN SOLAT JAMAK

Perkataan jamak dari segi bahasa ialah himpun atau gabung manakala yang dimaksudkan dengan solat jamak ialah menghimpunkan dua solat fardhu dalam satu waktu dengan waktu-waktu tertentu. Sementara itu, dari segi syarak ialah menggabungkan dua solat kepada sebahagiannya dalam waktu tunai, ini bermaksud membolehkan gabungan antara zohor dan asar secara taqdim dan takhir, dan begitu juga antara maghrib dan isyak, maka tidak sah menggabungkan subuh bersama apa (solat) sebelumnya atau selepasnya, sepertimana tidak menggabungkan antara asar dan Maghrib. Contohnya menghimpunkan solat maghrib kepada isyak atau isyak kepada maghrib dan zohor kepada asar atau asar kepada zohor. Selain itu, solat jamak ini terbahagi kepada dua iaitu jamak taqdim dan juga jamak takhir.

            Seterusnya, yang dimaksudkan oleh jamak taqdim ialah menghimpunkan dua solat fardhu dalam waktu pertama iaitu zohor dan maghrib. Contoh yang dapat dilihat ialah solat zohor dijamakkan dengan solat asar ketika waktu solat zohor ataupun solat maghrib yang dijamakkan dengan solat isyak ketika waktu solat isyak. Sementara itu, jamak takhir bermaksud menghimpunkan dua solat fardhu dalam waktu kedua iaitu asar dan isyak. Contohnya, menjamakkan solat zuhur dan asar pada waktu solat asar atau menjamakkan solat maghrib dan isyak pada waktu solat isyak.

 

1.1 DALIL PENSYARIATAN SOLAT JAMAK

Antara dalil-dalil pensyariatan solat jamak ialah:

Dalil solat jamak ketika bermusafir, daripada Ibn Abbas ra, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Maksudnya, “Rasulullah SAW menjamakkan solat zohor dengan asar ketika perjalanan (yakni bermusafir) dan menjamakkan solat maghrib dengan isyak.” { Hadis Riwayat Bukhari }

 Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas ra:

أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ بِنْ جُبَيْرٍ فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya, “Nabi SAW menjamakkan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjamakkan solat zohor dengan solat asar dan solat maghrib dengan isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.” { Hadis Riwayat Muslim }

Dalil bagi jamak taqdim ialah, riwayat dari anas bahawa:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رحل قبل أن تزيغ- تميل ظهرا- الشمس، أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل يجمع بينهما، فإن زاغت قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب.

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW bermusafir sebelum gelincir matahari, baginda akan mengakhirkan waktu zohor sehinggalah waktu asar, kemudian baginda singgah di suatu tempat dan menunaikan solat jamak kedua-dua solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan solat zohor dan kemudian berangkat.” { Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim }

Dalil bagi jamak tarkhir. Dari Muaz bin Jabal ra:

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في غزوة تبوك إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب

Maksudnya, “Bahawa Nabi SAW ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas maghrib disegerakan solat isyak, maka dilakukan solat isyak dengn maghrib.” { Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi }

SYARAT - SYARAT SOLAT JAMAK

 2.0 SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK

2.1 SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK TAQDIM

Terdapat beberapa syarat yang harus dipatuhi sebelum melakukan solat jamak, sama ada jamak taqdim mahupun jamak takhir. Bagi syarat solat jamak taqdim yang pertama adalah tertib. Maksud tertib disini adalah menunaikan solat yang dalam waktunya terdahulu, seperti menunaikan solat Zuhur sebelum Asar dan solat Maghrib sebelum Isyak. Selain itu, niat jamak mestilah pada solat yang pertama iaitu solat Zuhur atau solat Maghrib. Niat untuk solat jamak boleh dilakukan selewat-lewatnya sebelum memberi salam, tetapi lebih afdal jika melakukannya ketika takbiratulihram. Contohnya seperti ketika takbiratulihram solat Zuhur, mestilah berniat untuk menghimpunkan solat Asar dengan solat Zuhur. Syarat yang terakhir bagi jamak taqdim adalah melakukan kedua-dua solat secara berturut-turut. Solat kedua iaitu Asar dan Isyak hendaklah dilakukan selepas solat yang pertama, Zuhur atau Maghrib. Ianya tidak boleh dipisahkan dengan tempoh yang panjang seperti melakukan pekerjaan atau perbuatan lain yang boleh memakan masa selama dua rakaat solat. Sekiranya diselangi dengan mengambil wuduk, tayamum atau iqamat, maka jamaknya tidak terbatal.

SYARAT - SYARAT SOLAT JAMAK TAKHIR & SYARAT - SYARAT MUSAFIR MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK QASAR

 2.2 SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK TAKHIR

Bagi syarat solat jamak takhir yang pertama adalah mesti berniat untuk melakukan jamak takhir ketika masih dalam waktu yang pertama. Contohnya seperti berniat untuk menjamakkan Zuhur pada waktu Asar dan ketika itu mestilah berada dalam waktu Zuhur. Jika tertidur sepanjang waktu solat pertama iaitu Zuhur atau Maghrib dan terlupa berniat untuk menjamakkan solat pertama dalam waktu kedua, maka hendaklah seseorang itu qada solat pertama tanpa jamak dan qasar. Justeru itu, syarat yang kedua adalah berada dalam perjalanan ketika melakukan kedua-dua solat ini. Jika sampai ke destinasi yang dituju pada waktu solat yang kedua, maka solat kedua hendaklah dilakukan dengan sempurna dan solat yang pertama dikira sebagai qada. Sebagai contoh, seorang musafir yang berniat untuk menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak pada waktu Isyak, tetapi dia telah sampai ke rumahnya pada waktu kedua iaitu waktu Isyak, maka wajiblah ke atasnya solat Isyak secara sempurna dan qada solat Maghrib. Syarat yang terakhir sekali bagi jamak takhir adalah sunat tertib, yang bermaksud tidak disyaratkan pada jamak takhir ini tertib solat atau berturut-turut, akan tetapi disunatkan berbuat sedemikian.

 

2.3 SYARAT-SYARAT MUSAFIR YANG MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DAN QASAR

Terdapat tiga syarat sah solat jamak dan qasar. Syarat yang pertama adalah dari segi jarak. Jarak perjalanan untuk ke destinasi yang dituju hendaklah melebihi dua marhalah iaitu anggaran sejauh 81 km, jika jarak perjalanan kurang daripada dua marhalah, maka tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar. Seseorang itu juga hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di destinasi yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat untuk menetap selama empat hari atau lebih, maka jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu, dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja. Seterusnya, perjalanan hendaklah mempunyai destinasi tertentu, tidak boleh solat jamak dan qasar jika bermusafir tanpa arah tujuan. Begitu juga dengan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya. Tujuan musafir juga adalah syarat untuk solat jamak dan qasar. Perjalanan tersebut mestilah tidak bertujuan maksiat kerana jamak dan qasar merupakan rukhsah yang disyariatkan syarak dan ia tidak boleh berkait dengan sebarang maksiat. Justeru itu, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun.

 3.0 SOLAT QASAR

3.1 Maksud Solat Qasar

 Qasar dari segi Bahasa bermaksud memendekkan atau tidak memanjangkan. Qasar berasal daripada perkataan Arab iaitu qasar (قصر)  .  Dari segi istilah pula, qasar membawa maksud memendekkan solat fardu empat rakaat menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat hanyalah solat empat rakaat sahaja iaitu Solat Zohor, Asar dan Isyak. Ia adalah kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang sedang bermusafir atau dalam perjalanan yang diharuskan oleh syarak. Dipetik daripada kitab Al-Muktamad, jilid 1 hal 458-459, menurut ijmak ulama’, Solat Subuh dan Maghrib tidak boleh diqasarkan kerana solat Subuh jika diqasarkan bilangan rakaatnya akan menjadi ganjil manakala solat Maghrib tidak boleh diqasarkan menjadi dua rakaat kerana bilangan rakaatnya asalnya adalah tiga rakaat, ia juga tidak boleh diqasarkan kepada satu rakaat kerana satu rakaat adalah bilangan yang ganjil.

 

3.2 Dalil Pensyariatan Solat Qasar

3.2.1 Dalil Solat Qasar

  وَاِذَا ضَرَبْتُمْ فِى الْاَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ اَنْ تَقْصُرُوْا مِنَ الصَّلٰوةِ ۖ اِنْ خِفْتُمْ اَنْ يَّفْتِنَكُمُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْاۗ اِنَّ الْكٰفِرِيْنَ كَانُوْا لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِيْنًا

 

·         “Dan apabila kamu bepergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu mengqasar salat(mu), jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (QS an-Nisaa’ 101)

·         Dari ‘Aisyah ra berkata: “Diwajibkan salat 2 rakaat kemudian Nabi hijrah, maka diwajibkan 4 rakaat dan dibiarkan salat safar seperti semula (2 rakaat).” (HR Bukhari) Dalam riwayat Imam Ahmad menambahkan: “Kecuali Maghrib, karena Maghrib adalah salat witir di malam hari dan salat Subuh agar memanjangkan bacaan di dua rakaat tersebut.”

·         Berkata Anas bin Malik ra. :

خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين، ركعتين حتى رجعنا إلى المدينة

"Kami keluar bersama Nabi SAW dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakaat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah" [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim].

Para ulama' berijtihad bahawa solat jamak dan qasar boleh dilakukakan secara sekaligus. Ijtihad ini merupakan dalil yang kuat untuk dijadikan sandaran. Berikut pandangan Syeikh Ibn Taimiyah R.A :

"Mengenai solat Jama' dimana baginda melakukan solat jama' pada beberapa waktu ketika sibuk berjalan, dan uzur syarie. Sebagaimana beliau menjama'kan solat di Arafah dan Muzdalifah. Beliau juga ada kalanya menjama' solat pada perang Tabuk, apabila beliau keluar bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan solat sehingga waktu Asar lalu melakukan kedua-dua solat. Inilah sandaran yang sahih". [Majmu' Fataawa, 27/24].

Solat qasar hanya boleh dilakukan ketika bermusafir manakala solat jamak menurut ibnu utsaimin boleh dilakukan ketika bermusafir, hujan, sakit dan sebagainya. Bagi ulama' Hanafi pula, solat jamak hanya boleh dilakukan ketika ibadat haji, iaitu ketika berada di Arafah dan muzdalifah manakala solat qasar hanya boleh dilakukan ketika bermusafir sahaja. Namun, jika seseorang itu tidak berada di dalam kesukaran, maka lebih afdhal untuk solat qasar sahaja.

 

3.3 Syarat Solat Qasar

Terdapat beberapa syarat  solat qasar:👇

  1. Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.

 

  1.  Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada 2 marhalah.

 

  1. Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja yang dilaksanakan secara tunai. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan dalam musafir.

 

  1. Niat qasar ketika takbiratul ihram. Contoh lafaz niat bagi solat zohor: Maksudnya; Sahaja aku solat fardu zohor dua rakaat qasar tunai kerana Allah S.W.T.

 

  1. Tidak boleh berjemaah dengan orang yang bersolat tamam (sempurna).

 

  1. Hendaklah tempat yang dituju itu ditentukan. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.

 

  1. Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.

 

  1. Dia tahu bahawa orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

NIAT SOLAT JAMAK QASAR

 4.0 NIAT SOLAT JAMAK QASAR        


Niat Jamak Takdim dan Qasar : Zohor – Asar

Solat Jamak Takdim Zohor dengan Qasar

“Sahaja aku solat fardhu zohor 2 rakaat jamak takdim serta qasar kerana Allah Ta’ala”

Mengerjakannya dengan azan dan diiringi iqamat. Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkannya (kecuali mengambil wuduk) dan berniat bermula seperti berikut:

Solat Jamak Takdim Asar dengan Qasar

“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat jamak takdim serta qasar kerana Allah Ta’ala”

 

Niat Jamak Takhir dan Qasar : Asar – Zohor

Jamak Takhir Asar

“Sahaja aku solat asar dua rakaat jamak takhir serta qasar kerana Allah Ta’ala”

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkan (kecuali mengambil wuduk) dan berniat semula seperti berikut :

Jamak Takhir Zohor

“Sahaja aku solat fardhu zohor dua rakaat jamak takhir serta qasar kerana Allah Ta’ala”

Niat Jamak Takdim dan Qasar : Maghrib – Isyak

Jamak Takdim Qasar Maghrib Isyak

“Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat jamak takdim kerana Allah Ta’ala”

Solat Maghrib tidak boleh diqasarkan. Cara melaksanakan jamak takdim Maghrib dan Isyak sama dengan jamak takdim Zohor dan Asar. Setelah memberi salam kemudian bangun dan iqamat dan berniat seperti berikut :

Jamak Takdim Qasar Isyak Maghrib

“Sahaja aku solat isyak dua rakaat jamak takdim serta qasar kerana Allah Ta’ala”

 

Niat Jamak Takhir dan Qasar : Isyak – Maghrib

“Sahaja aku solat fardhu isyak qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Ta’ala”

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :

Jamak Takhir Maghrib

“Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat jamak takhir kerana Allah Ta’ala”

PERKIRAAN SEBAGAI MUSAFIR

 5.0 PERKIRAAN SEBAGAI MUSAFIR

Perkiraan Hari Masuk Dan Hari Keluar Dalam Hukum Solat Musafir (Jamak Dan Qasar)

Diantara salah satu daripada syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir ada disebut dalam kitab al-fiqh al-Manhajj.

“Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.”

Ini berdasarkan hadis al-`Ala’ bin al-Hadhrami bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُقِيمُ الْمُهَاجِرُ بِمَكَّةَ بَعْدَ قَضَاءِ نُسُكِهِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Orang Muhajirin bermukin di Mekkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.”

Sesetengah orang mungkin keliru, tentang apa yang dimaksudkan dengan hari masuk dan hari pulang, iaitu sama ada hari masuk serta pulang itu tercakup dalam 24 jam hari pertama dan terakhir atau pun bukan.

Iman al-Nawawi menukilkan perkataan :

وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksudnya“Tidak dikira daripada empat hari itu dua siang masuknya dan keluarnya mengikut pendapat yang sahih.”

Berasaskan keterangan sebagaimana yang di atas,  terdapat perbezaan antara penggunaan hari selama 24 jam dan yang “hari“ dalam konteks hukum jamak dan qasar. Seterusnya ‘hari’ dalam hukum itu memberi maksud waktu siang dan waktu malam apabila seorang musafir itu sampai atau ingin pulang. Contohnya, jika seseorang itu sampai siang hari Isnin, maka dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar daripada tempat itu untuk musafir jauh ke tempat lain pula, pada siang hari Jumaat.Seandainya, dia pulang malam sabtu, maka tidak sah hukum solat jama` dan qasar yang dibuat kerana tidak cukup syarat.

Di samping itu,  perlu difahami juga bahawa pertukaran hari dalam fiqh Islam adalah selepas waktu Maghrib (senja) dan bukan 12.00 tengah malam. Antara hikmah diberikan keringanan pada siang hari sampai dan siang hari pulang ialah kerana seorang musafir itu pastinya disibukkan dengan perkara-perkara yang keperluan ketika musafir (seperti pengangkutan, penginapan dan persediaan pulang) pada dua siang hari tersebut.



 6.0 SOLAT JAMAK YANG DIBENARKAN SELAIN DARI MUSAFIR

Daripada al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan juga sebahagian daripada ulama al Syafiiyah berpendapat, antara keadaan yang dibenarkan solat jamak selain dari musafir adalah ketika seseorang itu sakit. Bagi Imam Nawawi, hal ini merupakan pendapat yang kukuh. Bahkan mereka berhujah dengan menyatakan sekiranya ada keuzuran dan sakit adalah satu keuzuran yang diqiaskan kepada musafir atas segala kesusahan mahupun untuk setiap solat ke atas mereka yang sakit itu lebih susah berbanding orang yang bermusafir . Dalam perkara ini, al-Malikiyyah berbeza pendapat bahawa seseorang yang sakit itu hanya dibenarkan jamak taqdim sahajaSelain itu, jamak juga dibolehkan ketika berlakunya cuaca sejuk dan hujan lebat. Hal ini adalah pendapat dari jumhur fuqaha’ al-Syafi’iyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah.Seterusnya, jamak juga dibolehkan apabila seseorang itu berada dalam keadaan ketakutan. Adapun sebahagian besar al-Syafiiyyah tidak membenarkannya disebabkan solat mempunyai itu waktu yang telah ditetapkan.

Selain itu, menghimpunkan dua solat secara jamak taqdim adalah harus ketika hujan, berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas Radiyallahu Anhuma :

أن النبي صلى الله عليه وسلم صلى بالمدينة سبعا وثمانيا الظهر والعصر والمغرب والعشاء. زاد مسلم: من غير خوف ولا سفر. وعند البخاري: فقال أيوب أحد زواة الحديث لعله في ليلة مطيرة. قال عسی، وعند مسلم: قال ابن عباس رضي الله عنهما أراد أن يخرج أحدا من أمته

Maksudnya: "Rasulullah SAW bersolat di Madinah sebanyak 7 dan 8 rakaat, iaitu solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isya' Imam Muslim menambah: Bukan dalam keadaan takut dan bukan juga ketika bermusafir. Menurut riwayat al-Bukhari pula: Seorang periwayat hadith bernama Ayyub bertanya: Boleh jadi ketika hujan lebat pada waktu malam?” Jawab Ibnu Abbas : Mungkin.


 6.1 SYARAT JAMAK KERANA HUJAN :👇

1. Jarak : solat Jemaah dilakukan di Masjid yang jauh dari tempat tinggalnya dan hujan yang turun boleh memudaratkannya atau hartanya.

2. Tempoh : Hujan itu turun berkekalan sampai waktu yang kedua.


6.2 MASALAH ISU BERKAITAN SOLAT JAMAK QASAR

 Adakah dibolehkan seseorang musafir itu melakukan Solat Jamak Qasar untuk

menonton Bola Sepak?💭

Permainan Bola sepak adalah harus dalam Islam. Pada asalnya, sesuatu hukum itu adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang mengharamkannya dan tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya daripada batasan keharusan itu seperti melakukan perkara-perkara maksiat. Imam Suyuti menyebut : sekiranya kita berniat mahu pergi ke Sesutu tempat untuk bermaksiat maka tidak boleh untuk solat jamak qasar kerana jamak qasar sebahagian daripada keringanan agama. Akan tetapi jika sekiranya bukan tujuan untuk bermaksiat sampai disana berlaku maksiat, maka dibolehkan untuk jamak qasar kerana itu bukan niatnya. Oleh itu tidaklah menjejaskan keharusan seseorang itu solat jamak qasar Namun begitu, semua pihak yang terlibat dalam permainan bola sepak ini sama ada pihak penganjur, pihak penonton hendaklah menitikberatkan dalam mematuhi hukum syarak.

 

 Antaranya adalah:👇

1.        👉 Menutup aurat ketika permainan berlangsung.

2.       👉 Menjaga waktu solat ketika permainan berlangsung.


3.      👉Tidak berlakunya pertaruhan.

4  👉Tidak berlaku pergaduhan sesama sendiri atau pihak lawan dan penyokong pihak lawan.

Kesimpulannya, diharuskan solat jamak qasar ketika musafir untuk menonton bola sepak selagi mana tidak ada tujuan maksiat seperti meninggalkan solat, melihat aurat dengan sengaja, adanya percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) dan maksiat yang lain.

KESIMPULAN

 7.0 KESIMPULAN

Jamak dan qasar merupakan satu keringanan (rukhsah) yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada hambanya untuk memudahkan seseorang daripada kesulitan dan kesusahan yang dialami ketika bermusafir.Hal Ini dapat membuktikan rahmat dan kasih sayang Allah pada kita semua agar tiada alasan dari mendirikan solat yang telah disyariatkan kepada kita.Selain itu ia juga merupakan satu anugerah dan lambang bahawa Islam itu tidak pernah memberatkan umatnya, sebaliknya Islam itu agama yang mudah.

Firman Allah di dalam surah Al - Baqarah ayat 185 :

ۗيُرِيْدُ اللّٰهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيْدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Yang bermaksud : Allah mengkehendaki bagi kamu kemudahan dan dia tidak mengkehendaki untuk kamu kesulitan.

Terdapat beberapa pendapat ulama yang perlu diteliti dalam menentukan kadar jarak musafir yang diharuskan qasar. Pandangan yang berbeza di antara ulama ini bukanlah satu pergaduhan, akan tetapi ianya adalah pendapat ulama berdasarkan kebijaksanaan dan kemantapan ilmu mereka melalui pemahaman yang begitu mendalam berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis.


            Seseorang musafir itu  perlulah melengkapi syarat-syarat jamak dan qasar selain daripada jarak perjalanan. Oleh itu, ntara salah satu syarat qasar solat adalah perjalanan itu tidaklah bertujuan untuk melakukan maksiat. Jika kita bertujuan pergi musafir untuk bermaksiat, maka tidak dibolehkan kerana keringanan syarak tidak diberi kepada maksiat dan jika seseorang itu berniat untuk pergi melakukan maksiat, maka tidak dibolehkan jamak qasar kerana jamak qasar kerana ianya sebahagian daripada keringanan agama. Maka gugurlah hukum rukhsah solat jamak dan qasar dan wajiblah kepada seseorang itu menunaikan dengan hukum asal tanpa jamak dan qasar. Tetapi jika tidak bertujuan untuk melakukan maksiat, sampai disana berlakunya maksiat, maka dibolehkan untuk jamak qasar.

            Antara hikmah disyariatkan solat qasar dan jamak adalah menjadi tanda kasih sayang Allah terhadap umat Nabi Muhammad SAW agar hambanya dapat melakukan ibadah solat tanpa adanya alasan untuk meninggalkannya. Selain itu, ianya secara tidak langsung dapat memberi keringanan kepapa umat Islam untuk menunaikan solat fardu ketika bermusafir. Seterusnya, menggalakkan Umat Islam bermusafir dan berjalan di muka bumi Allah. Dengan berhijrah ke tempat lain, seseorang itu berupaya dalam membangunkan jati diri dengan pengalaman dan situasi baru serta dapat membina kehidupan yang lebih baik.

Di sini perlu diingatkan dan dititikberatkan bahawa, beramallah sesuatu perkara itu dengan ilmu pengetahuan dan adanya fakta yang sahih dan bukanlah sekadar ikutan bahkan sengaja mencari jalan atu pendapat yang lebih mudah dan ringan sehingga menjadikannya bersenang-senang dalam melaksanakan ibadah. Perkara sebegini amatlah dicela oleh para ulama salaf dan khalaf, bahkan ulama bersepakat bahawa diharamkan di sudut syarak apabila seseorang itu memilih-milih pendapat untuk kemudahan mahupun mengikut hawa nafsu.

Para Ulama salaf dan Khalaf amat bertegas dengan amalan memilih pendapat yang mudah. Daripada seorang ulama tabiin iaitu Imam Sulaiman al-Taimi :

ان اخذت برخصة كل عالم اجتمع فيك الشر كله

Yang bermaksud: “Jika kamu mengambil rukhsah dari setiap orang alim, maka segala kejahatan telah terkumpul di dalam diri kamu”.

Akhirnya, dakwaan bahawa Islam agama yang sangat menyusahkan, rumit dan tidak fleksibel adalah dakwaan yang tidak berasas sama sekali. Agama Islam mempunyai toleransi yang sangat tinggi terhadap umatnya. Oleh yang demikian, tidak dapat disangkal lagi bahawa agama Islam adalah agama yang melambangkan kesempurnaan dalam setiap keadaan dan situasi manusia.



  #AkuIslam #PanduanSolatJama'Qasar  Panduan Solat Jama' & Qasar : https://youtu.be/OyTt5kGTcAM